Monday, June 29, 2009

Adat Resam (6)

Hukum Adat melangsungkan perkahwinan di rumah orang lain

Menurut adat suku kaum Rungus,seandainya hal ini berlaku sama ada dengan persetujuan atau tidak dari kedua belah pihak, maka orang tesebut dikenakan adat kosintadon.

Adat Kosintadon ini ialah 1 sanang betukul atau tinukul dan 1 ekor kambing atau babi untuk diberikan kepada tuan rumah.

Hal ini demikian kerana pasangan pengantin ini dianggap telah 'menyewakan' rumah mereka bagi alam rumahtangga yang bakal dijalani.

Friday, June 19, 2009

Hukum adat (6)

Hukum Adat Bagi Lelaki yang membawa Anak Gadis Kahwin Lari

Jika seorang lelaki membawa anak gadis orang tanpa kebenaran orang tua gadis tersebut kemudian berkahwin pula, maka kedua-duanya telah dianggap berbuat zina.

Si lelaki yang membawa gadis itu kahwin lari akan didenda mengikut adat istiadat kaum Rungus iaitu:

  1. Bagi pihak ibu bapa si gadis,adat istiadat malu dikenakan.
    • Lelaki itu dikehendaki memberi 2 buah tawag binubuk atau 2 buah sanang betukul yang besar.

  2. Bagi si gadis yang dibawa lari itu, adat Laput dikenakan.
    • Lelaki itu dikehendaki memberi 2 buah langguwai, 1 panding, 1 saludang untuk penutup dan 1 Mappai Rampak.

  3. Untuk berian si gadis, 2 ekor kerbau dan 1 ekor babi/kambing sebagai sogit kampung, 1 ekor kerbau sebagai belanja dapur serta belanja hangus dan lain-lain harus dibayar oleh si lelaki menurut permintaan pihak si gadis.

Sekiranya si lelaki tidak mampu menurut permintaan ibu bapa si gadis, maka si lelaki yang telah berkahwin ini dikehendaki tinggal bersama-sama mentuanya sehingga hutang berian habis dibayar. Andainya tempoh yang diberikan oleh ibu bapa si gadis telah tamat, maka ibu bapa si gadis berhak untuk menceraikan si gadis dari si lelaki (suaminya) itu

Sunday, June 14, 2009

Hukum adat (5)

Hukum Adat Rungkang

Kesalahan yang dikenakan adat Rungkang adalah apabila si suami atau si isteri sedang sakit lalu ditinggalkan oleh si suami atau si isteri. Kemudian si suami atau si isteri meninggal dunia sedangkan si suami atau si isteri telah pun berkahwin lain.

Maka si suami atau si isteri yang melakukan kesalahan ini didenda 1 ekor kerbau, 1 buah tawag binubuk dan 1 ekor babi.

Thursday, June 4, 2009

Adat Resam (4)

Hukum Adat Solod

Hukum Adat Solod dikenakan kepada orang yang bersalah kerana merebut isteri atau suami orang lain.

Denda yang dikenakan ialah 8 buah sanang kimanis dan seekor kerbau sumandak untuk diberikan kepada isteri atau suami orang yang direbutnya.