Sunday, May 31, 2009

Adat Resam (3)

Hukum Adat Suami Isteri Bergaduh Di Hadapan Tetamu

Apabila suami isteri bergaduh atau berkelahi di hadapan tetamu mereka, maka pasangan suami isteri ini akan dikenakan adat malu. Adat Malu ini berupa 1 buah tawag dan 1 ekor ayam besar.

Hal ini demikian kerana perbuatan mereka itu dianggap sebagai tidak menghormati tetamu mereka. Apabila mereka bergaduh, maka mereka seolah-olah menganggap tetamu mereka sebagai haiwan dan cuba mengusir mereka dengan mencetuskan pergaduhan.

Wednesday, May 27, 2009

Adat Rungus (2)

Hukum Adat melangsungkan perkahwinan di rumah orang lain

Menurut adat suku kaum Rungus,seandainya hal ini berlaku sama ada dengan persetujuan atau tidak dari kedua belah pihak, maka orang tesebut dikenakan adat kosintadon.

Adat Kosintadon ini ialah 1 sanang betukul atau tinukul dan 1 ekor kambing atau babi untuk diberikan kepada tuan rumah.

Hal ini demikian kerana pasangan pengantin ini dianggap telah 'menyewakan' rumah mereka bagi alam rumahtangga yang bakal dijalani.

Thursday, May 7, 2009

Adat Rungus (1)

Adat Istiadat Perkahwinan Suku Kaum Rungus

Pemuda-pemuda dari suku kaum Rungus tidak mencari bakal isteri mereka sendiri tetapi ditentukan oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa akan mencarikan pasangan bagi anak mereka apabila anak-anak mereka dewasa dan sudah berupaya memikul tanggungjawab untuk mendirikan rumahtangga.

Selalunya apabila ibu bapa si lelaki bertemu gadis yang berkenan di hati, mereka akan datang ke rumah ibu bapa si gadis untuk merisik sama ada si gadis telah berpunya atau belum.

Apabila didapati si gadis itu belum dimiliki, maka ibu bapa si lelaki akan menanyakan orang-orang yang rapat atau keluarga terdekat si gadis bagaimana sikap si gadis, sama ada si gadis yang dirisik rajin,baik hati dan sebagainya.Begitu juga sebaliknya bagi keluarga si gadis.

Setelah kedua-dua pihak sudah sepakat, barulah ibu bapa si lelaki menetapkan hari peminangan atau pertunangan. Setelah persetujuan pertunangan dibuat, maka barulah hari menghantar tanda tunang ditetapkan.

Kadang kala semasa hari menghantar tanda tunang, hari tersebut juga digunakan untuk penetapan berian, hukuman dan perbelanjaan yang mesti dikeluarkan oleh pihak si lelaki seminggu sebelum hari perkahwinan. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai berian, hukuman dan perbelanjaan kahwin akan dibuat selepas seminggu atau sebulan penghantaran tanda tunang. Semua perbincangan pihak lelaki dan pihak perempuan ini akan disaksikan oleh Ketua Kampung dan beberapa orang ahli keluarga kedua belah pihak.

Barang-barang yang yang dijadikan tanda tunang adalah tidak terhad, antaranya:

  1. Buah Pinang
  2. Daun Sirih
  3. Daun Kirai
  4. Kapur
  5. Sigup (Tembakau)
  6. Lain-lain barang yang difikirkan perlu untuk si gadis

Kesemua tanda tunang ini dihantar oleh bapa si lelaki, si lelaki sendiri dan beberapa orang lain sebagai pengiring.
Kebiasaannya, apabila rombongan si lelaki tiba di rumah si perempuan, si lelaki akan mengambil seberapa banyak yang terdaya dan disimpan para-para rumah si perempuan.
Ini menandakan bahawa si lelaki itu mahu menjadi keluarga mereka. Tali pengikat kayu api itu akan disimpan sebagai tanda bahawa berapa besar ikatan kayu itu begitulah juga besarnya sukatan tempayan yang diberikan kepada bapa si perempuan. Adat ini dinamakan sebagai adat "Loput" atau "Buka Mulut".

Upacara penghantaran tanda tunang dilakukan mengikut hari yang baik contohnya pada hari "tontong" atau bulan purnama. Jika sepanjang perjalanan pada hari penghantaran tanda tunang ini berlaku peristiwa-peristiwa ganjil,bertemu binatang seperti rusa, burung-burung ganjil dan sebagainya, maka upacara penghantaran tanda tunang dibatalkan dan ditunda ke hari lain.

Bagi hal berkenaan berian dan belanja kahwin,ibu bapa si lelaki akan menggunakan seseorang sebagai wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan dan menyampaikan kepada ibu bapa ibu bapa si lelaki segala keputusan keluarga pihak perempuan.

Wakil bagi upacara seperti ini dinamakan "Bantaran". Tugas "Bantaran" ialah sebagai pembawa adat "Loput" (Pembuka Bicara/Pembuka Mulut)."Bantaran" perlu membawa sebuah "panding" sebesar satu depa sukatannya, "tutuban" satu sansang sakudon atau sebuah gong dan "languwai" satu pasang atau "sumbul".

Untuk perempuan yang akan dikahwininya diberi satu "languwai" sederhana besar dan satu "tawag". Ibu bapa perempuan pula akan diberi dua buah "tawag" atau "sanang". Jika si lelaki berkemampuan, semua adik-beradiknya yang perempuan juga diberi satu "gadur" setiap seorang sebagai adat pewarisan.

Setelah selesai adat "Loput" atau "Buka Mulut" ini, barulah mereka akan berunding mengenai berian dan belanja kahwin serta hantaran pihak lelaki mengikut permintaan pihak perempuan. Sekiranya si lelaki bersetuju dengan semua permintaan tersebut, maka hari perkahwinan pun ditetapkan. Jika tidak, terpulanglah kepada budi bicara kedua-dua pihak sama ada mahu meneruskan perkahwinan si anak atau tidak.

Apabila tiba masa perkahwinan yang telah ditetapkan, si lelaki dikehendaki membawa "bujak", keris atau pedang, "paes" (pisau) yang diikat bersama gelang dengan menggunakan sapu tangan. Setelah lengkap semuanya barulah si lelaki berangkat ke rumah bakal isterinya. Apabila tiba di rumah si perempuan, si lelaki hendaklah menyerahkan kesemua barang tadi kepada ibu bapa si perempuan.Sesudah itu, barulah si lelaki boleh duduk di tempat persandingannya sementara menanti pengantin perempuan keluar bersanding. Si lelaki mestilah membawa seorang pengapit yang dipanggil "magat", begitu juga dengan pengantin perempuan.

Sesudah upacara perkahwinan dijalankan, barulah Ketua Kampung membuat surat peringatan perkahwinan untuk didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri bagi mendapatkan Surat Keterangan Berian. Dalam surat peringatan ini, diberi "Lapik Banda" kepada kedua-dua suami isteri, iaitu sekiranya si suami tidak menjaga isterinya dengan baik, tidak menghormati mentua dan hal-hal lain yang tidak wajar dilakukan oleh seorang suami kepada isterinya, maka isteri berhak menceraikan suaminya tanpa mengembalikan kesemua berian dan perbelanjaan kahwin. Jika si isteri tidak mengikut nasihat dan kata-kata suami, curang atau lari dari rumah akan didenda satu "tawag" atau "sanang" dan berian akan dikembalikan kepada suaminya.
Adapun tujuan "Lapik Banda" ini adalah untuk mengelakkan pasangan suami isteri daripada bercerai.

Monday, May 4, 2009

Kepercayaan Rungus

Kepercayaan 'Labus'

Sebelum kedatangan mubaligh Kristian pada sekitar tahun 1950-an, satu-satuya kepercayaan suku kaum Momogun Rungus ialah kepercayaan animisme. Mereka menyebut kepercayaan ini sebagai agama Labus (disebut Labvus).

Menurut agama ini apabila bangsa Momogun dianiaya atau dijajah oleh bangsa lain maka akan berlaku malapetaka yang tidak pernah terjadi seperti serangan penyakit dan fenomena alam kepada sesiapa yg melakukannya terhadap Momogun. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk sebagai wasiatnya kepada Momogun.

Agama Labus adalah satu agama yang diasaskan oleh Bobolizan Guraumanuk. Dia menamakannya sebagai agama Labus yang bermakna:

  1. AGAMA – berasal dari bahasa Rungus boleh dilakukan
    • ‘A’ - boleh
    • ‘Gama’ - buat / lakukan

  2. LABUS – bermakna keluar/lepas dalam bahasa Rungus

Ringkasnya,agama Labus bermaksud satu set hukum momogun yang boleh dilakukan untuk melepaskan mereka dari hukuman, laknat, sumpahan atau murka dari tuhan.

Menurut Bobolizan Gomburon dan Guraumanuk, manusia ini pada asalnya adalah dewa. Setelah dihasut oleh Rogon iaitu anak Kinoringan Mamangun sendiri, manusia yang ketika itu adalah dewa telah ikut serta merebut takhta Kinoringan. Maka akhirnya Pomogunan Tavanus (Syurga) telah huru hara dan Kinoringan mematahkan bala tentera Rogon dan menjatuhkan hukuman kepada pengikut-pengikutnya. Manusia yang termakan kata-kata Rogon pada mulanya dipanggil sebagai Rumandavi (dewa) kini dipanggil Riniba(manusia).
Riniba diambildari kata ‘SIBA’ bermaksud rendah.Riniba bermakna makhluk ciptaan Kinoringan Mamangun yang telah direndahkan statusnya.Untuk mengelakan kutukan dari Kinoringan terhadap mereka yang mengkhianati kemuliaan hati-Nya, maka wujudlah agama Labus yang diturunkan kepada Bobolizan Guraumanuk untuk menggantikan hukuman keras yang diwartakan oleh Bobolizan Gomburon.

Agama Labus yang diwartakan Bobolizan Guraumanuk ini menghapuskan hukuman mati seperti memasukkan pesalah yang membunuh orang ke dalam bubu dengan batu lalu dibuang ke dalam laut (hukum gomburon) dengan setiap kesalahan orang momogun boleh dibayar dengan mengorbankan haiwan ternak seperti ayam (nilai ayam bergantung kepada warna hitam / putih. Warna lain tidak diterima), atau kesalahan besar korbankan khinzir atau kerbau.

Setelah pihak British menjajah kepulauan Borneo, barulah agama lain wujud di kalangan masyarakat Momogun Rungus. Menurut sumber yang boleh dipercayai, agama suku kaum Rungus yang pertama dianuti ialah agama Kristian dari denominasi Protestan. Menurut sejarah gereja berkenaan, pada tahun 1953 para penginjil (diketuai oleh Missioner Bienz) dari Jerman datang ke kawasan Kudat untuk memberitakan injil tentang Jesus Christ (Nabi Isa). Pada masa kini, 90% dari suku kaum Rungus adalah beragama Kristian denominasi Protestan,5% dari Kristian mazhab lain dan selebihnya beragama Islam akibat daripada perkahwinan campur. Walaubagaimana pun Labus masih diamalkan oleh sebilangan warga Momogun Rungus yang berada di kawasan pedalaman bagi menghormati semangat Lumaag yang menjaga bangsa Momogun sejak turun-temurun.










Lumaag Nabalu menjaga Gunung Kinabalu
Alexander Marcellinus (2007)