Monday, May 4, 2009

Kepercayaan Rungus

Kepercayaan 'Labus'

Sebelum kedatangan mubaligh Kristian pada sekitar tahun 1950-an, satu-satuya kepercayaan suku kaum Momogun Rungus ialah kepercayaan animisme. Mereka menyebut kepercayaan ini sebagai agama Labus (disebut Labvus).

Menurut agama ini apabila bangsa Momogun dianiaya atau dijajah oleh bangsa lain maka akan berlaku malapetaka yang tidak pernah terjadi seperti serangan penyakit dan fenomena alam kepada sesiapa yg melakukannya terhadap Momogun. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk sebagai wasiatnya kepada Momogun.

Agama Labus adalah satu agama yang diasaskan oleh Bobolizan Guraumanuk. Dia menamakannya sebagai agama Labus yang bermakna:

  1. AGAMA – berasal dari bahasa Rungus boleh dilakukan
    • ‘A’ - boleh
    • ‘Gama’ - buat / lakukan

  2. LABUS – bermakna keluar/lepas dalam bahasa Rungus

Ringkasnya,agama Labus bermaksud satu set hukum momogun yang boleh dilakukan untuk melepaskan mereka dari hukuman, laknat, sumpahan atau murka dari tuhan.

Menurut Bobolizan Gomburon dan Guraumanuk, manusia ini pada asalnya adalah dewa. Setelah dihasut oleh Rogon iaitu anak Kinoringan Mamangun sendiri, manusia yang ketika itu adalah dewa telah ikut serta merebut takhta Kinoringan. Maka akhirnya Pomogunan Tavanus (Syurga) telah huru hara dan Kinoringan mematahkan bala tentera Rogon dan menjatuhkan hukuman kepada pengikut-pengikutnya. Manusia yang termakan kata-kata Rogon pada mulanya dipanggil sebagai Rumandavi (dewa) kini dipanggil Riniba(manusia).
Riniba diambildari kata ‘SIBA’ bermaksud rendah.Riniba bermakna makhluk ciptaan Kinoringan Mamangun yang telah direndahkan statusnya.Untuk mengelakan kutukan dari Kinoringan terhadap mereka yang mengkhianati kemuliaan hati-Nya, maka wujudlah agama Labus yang diturunkan kepada Bobolizan Guraumanuk untuk menggantikan hukuman keras yang diwartakan oleh Bobolizan Gomburon.

Agama Labus yang diwartakan Bobolizan Guraumanuk ini menghapuskan hukuman mati seperti memasukkan pesalah yang membunuh orang ke dalam bubu dengan batu lalu dibuang ke dalam laut (hukum gomburon) dengan setiap kesalahan orang momogun boleh dibayar dengan mengorbankan haiwan ternak seperti ayam (nilai ayam bergantung kepada warna hitam / putih. Warna lain tidak diterima), atau kesalahan besar korbankan khinzir atau kerbau.

Setelah pihak British menjajah kepulauan Borneo, barulah agama lain wujud di kalangan masyarakat Momogun Rungus. Menurut sumber yang boleh dipercayai, agama suku kaum Rungus yang pertama dianuti ialah agama Kristian dari denominasi Protestan. Menurut sejarah gereja berkenaan, pada tahun 1953 para penginjil (diketuai oleh Missioner Bienz) dari Jerman datang ke kawasan Kudat untuk memberitakan injil tentang Jesus Christ (Nabi Isa). Pada masa kini, 90% dari suku kaum Rungus adalah beragama Kristian denominasi Protestan,5% dari Kristian mazhab lain dan selebihnya beragama Islam akibat daripada perkahwinan campur. Walaubagaimana pun Labus masih diamalkan oleh sebilangan warga Momogun Rungus yang berada di kawasan pedalaman bagi menghormati semangat Lumaag yang menjaga bangsa Momogun sejak turun-temurun.










Lumaag Nabalu menjaga Gunung Kinabalu
Alexander Marcellinus (2007)

No comments:

Post a Comment